Rabu, 3 Februari 2010

Penerapan Nilai-Nilai Murni dalam Pembelajaran Kooperatif dalam Sains

URL;
http://pkukmweb.ukm.my/~penerbit/jurnal_pdf/jdidik27-04.pdf

Kajian ini bertujuan untuk mengukur sejauh mana pembelajaran kooperatif dalam sains dapat menerapkan nilai murni seperti bekerjasama, berdikari, kasih sayang, kebersihan mental, kebersihan fizikal, kejujuran, kerajinan dan rasional serta untuk mengkaji penerapan nilai murni lain. Ia juga untuk menguji struktur manakah yang lebih berkesan dalam menerapkan nilai-nilai murni iaitu kaedah STAD atau Jigsaw 2 . Pembelajaran kooperatif STAD adalah mengikut turutan berikut iaitu guru mengajar, murid belajar dalam kumpulan, kuiz secara individu dan peneguhan (pemberian ganjaran kepada tiga kumpulan yang mendapat markah tertinggi). Struktur Jigsaw 2 pula mengikut turutan berikut iaitu guru mengajar, pelajar berbincang dalam kumpulan pakar, pelajar kembali ke kumpulan masing-masing berbincang dan mengajar ahli kumpulan mereka, kuiz dan peneguhan. Pelajar lebih seronok belajar dalam kumpulan dan mereka lebih berusaha meningkatkan pencapaian. Menurut kajian Struktur Jigsaw 2 lebih berkesan untuk digunakan bagi menerapkan nilai murni berbanding dengan struktur STAD. Ini mungkin disebabkan kaedah kooperatif Jigsaw 2 mempunyai aktiviti perbincangan kumpulan pakar. Aktiviti ini memberi peluang para pelajar lebih berinteraksi, lebih bertanggungjawab dan berlatih untuk berdikari dan bekerjasama bagi membolehkan kumpulan mereka berjaya. Sementara dalam kaedah kooperatif STAD tidak terdapat aktiviti perbincangan kumpulan pakar seperti dalam kooperatif Jigsaw 2. Secara tidak langsung, ruang interaksi antara pelajar berkurangan jika dibandingkan dengan kaedah kooperatif Jigsaw 2. Pelajar-pelajar dalam kooperatif STAD ini masih berinteraksi, tetapi terhad dalam kumpulan kecil masing-masing. Bagaimana pula pendapat anda. Adakah kaedah pembelajaran kooperatif boleh menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar?

2 ulasan:

  1. Saya amat bersetuju bahawa kaedah pembelajaran kooperatif sememangnya boleh menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar. Dengan mengamalkan kaedah pembelajaran ini, secara tidak langsung wujud sikap bekerjasama dan saling bantu-membantu dalam kalangan pelajar. Pelajar yang pandai dapat membantu pelajar yang lemah dalam memahami sesuatu topik. Selain itu, kaedah ini dapat mendidik pelajar-pelajar cara untuk berinteraksi dan bergaul dalam kumpulan. Ini menunjukkan kaedah ini sangat sesuai untuk diaplikasikan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan rohani.

    BalasPadam
  2. Pengajaran sesuatu subjek akan dianggap 'kering' dan membosankan jika ia tidak dikaitkan dengan kehidupan harian dan budaya kita. Penggabungjalinan antara isi kandungan mata pelajaran dengan kehidupan mampu menerapkan nilai-nilai murni dikalangan pelajar. Dari aspek P&P, Pembelajaran Kooperatif diyakini dapat membantu menerapkan nilai murni ini. Kajian dari jurnal ini menunjukkan pembelajaran kooperatif dilaksanakan melalui dua cara iaitu kaedah STAD dan Jigsaw 2. Saya bersetuju yang kaedah Jigsaw 2 lebih berkesan kerana wujud proses perbincangan antara pelajar dengan kumpulan pakar. Proses ini pastinya mampu mematangkan fikiran pelajar dan membantu mereka untuk menjadi lebih cekap, berdaya saing dan aktif.

    BalasPadam